Masyarakat perlu dididik benci wakil rakyat ‘jual kerusi’

Masyarakat perlu dididik benci wakil rakyat ‘jual kerusi’

PETER MINOS dan ABDUL KARIM RAHMAN HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Masyarakat perlu dididik membenci amalan tidak sihat segelintir ahli politik yang tidak mempunyai integriti dengan ‘menjual’ kerusi untuk wang , kedudukan atau keuntungan duniawi.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, isu tersebut perlu diberi keutamaan bukan setakat mewujudkan undang-undang untuk menghalang wakil rakyat melompat parti.

Ujarnya, amalan melompat parti nampaknya sudah menjadi satu trend yang diterima sekarang dan seseorang tidak kelihatan malu dan menyesal untuk melakukannya.

“Jika mewujudkan undang-undang anti lompat parti boleh menghentikan amalan sedemikian maka wujudkanlah tetapi orang awam juga perlu dididik untuk membenci pemimpin-pemimpin yang melompat parti dengan niat tidak baik atau untuk kepentingan pribadi,” kata Abdul Karim ketika dihubungi Utusan Malaysia

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas gesaan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajid Dusuki bahawa pindaan perlembagaan diperlukan terutamanya dengan ketidakstabilan politik semasa yang diperkuatkan oleh wabak itu.

Sementara itu, penganalisis politik Datuk Peter Minos turut bersetuju supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi menggubal undang-undang anti lompat parti sekali gus membantu mewujudkan kestabilan politik di Malaysia. 

Beliau berpendapat undang-undang anti lompat parti sangat penting kerana ia boleh menghentikan amalan wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) “menjual” diri untuk mendapatkan wang dan kedudukan.

“Rakyat sudah benar-benar muak dengan amalan melompat parti ini kerana ia sangat mengecewakan dan juga memalukan.

“Mereka yang melompat parti menjadikan politik sangat murah dan itu tidak boleh diterima,” kata Minos.

Beliau percaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti mahukan undang-undang anti-melompat dilaksanakan.

“Saya percaya pemimpin-pemimpin GPS juga sudah muak dengan pelompat parti yang membawa masalah politik kepada Malaysia terutamanya di Semenanjung dan Sabah,” tambahnya.

Beliau menambah amalan melompat parti sememangnya tidak baik dalam berpolitik dan juga tidak baik untuk kestabilan politik. 

“Ia juga tidak baik untuk negara dan tidak baikan kepada pengundi dan rakyat. 

“Hanya Parlimen yang boleh menghentikan amalan melompat parti dengan meminda peruntukan berkaitan dengan majoriti dua pertiga mengundi untuknya.

“Jika Pakatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) serta ahli pembangkang yang anti lompat mahu memberi undi dua pertiga undang-undang tersebut parti yang dicadangkan itu boleh diluluskan.

“Mungkin seluruh pembangkang akan menyokong. Jika ya, saya percaya tiada masalah untuk undang-undang berkenaan diluluskan,” kata Minos.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata daripada menggubal satu set undang-undang baharu yang mungkin dicabar di mahkamah, adalah lebih baik pindaan perlembagaan itu sendiri dibuat untuk menghentikan sama sekali amalan melompat parti.

“Kita perlu penyertaan semua orang kerana cadangan pindaan memerlukan majoriti dua pertiga ahli dalam Dewan,” tegasnya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN