KUANTAN: Mari’s Buffet Cafe menyediakan ruang pameran untuk menjual lebih 100 jenis kuih atau biskut raya milik usahawan kecil secara percuma.
Usahawan atau peniaga tidak perlu membayar sebarang sewa sebagai vendor.
Pengarah Pengurusan Cafe Mari’s Buffet, Jamaliah Ismail berkata, menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Mari’s Buffet akan bekerjasama dengan mana-mana usahawan yang berminat untuk menjual kuih raya mereka.
Beliau berkata, untuk kerjasama itu, Mari’s Buffet membuka peluang kepada lebih 80 usahawan bagi sama-sama berniaga.
“Kita di Mari’s Buffet akan menyediakan ruang khas dan kita akan susun dengan cantik dan kemas kuih raya milik peniaga yang terlibat dengan kerjasama ini.
“Mereka (usahawan) hanya perlu menghantar produk ke kedai kami dan staf kami akan tolong jual sehingga habis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jamaliah berkata, mana-mana pelanggan yang datang makan di Mari’s Buffet boleh membuat pilihan dan membeli kuih raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kerjasama dan usaha ini diharapkan dapat membantu serba sedikit usahawan kuih raya terlibat menjana pendapatan,” katanya. – UTUSAN