PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara, Malaysia juga tidak mengambil bahagian dalam prosiding oleh waris Sultan Sulu di ibu kota Paris tersebut.
“Tambahan pula, Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengenepikan kedaulatan sebagai sebuah negara berdaulat selain tuntutan berkenaan juga bukan bersifat komersial. Ia sebenarnya tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara kerana Perjanjian 1878 dengan Sultan Sulu pada masa itu tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara,” jelasnya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai mengulas laporan media berhubung kejayaan waris itu menerusi penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa dalam perbicaraan pada Isnin lalu.
Tuntutan itu berbangkit daripada beberapa perjanjian penyerahan buat selama-lamanya yang dimeterai antara Sultan Mohamed Jamal Al Alam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
Sebagai balasan, Sultan Sulu itu dan pewarisnya diberikan wang serahan sebanyak RM5,300 setiap tahun namun dihentikan ekoran insiden serangan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, kerajaan Malaysia ingin menekankan bahawa identiti si penuntut wilayah Borneo Utara atau kini dirujuk Sabah itu juga diragui dan belum disahkan.
“Pada 2020, Mahkamah Tinggi Sabah yang bersidang di Kota Kinabalu telah pun membuat keputusan tidak memihak kepada penuntut dan perjanjian itu tiada peruntukan timbang tara. Malaysia juga tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya dan ini turut bermakna, penimbang tara tiada bidang kuasa bagi menyelesaikan perkara dibangkitkan itu,” tegasnya.
Apatah lagi ujar kenyataan berkenaan, mahkamah tersebut merupakan forum yang neutral dan teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan ke atas pemeteraian hasil Perjanjian 1878.
Kerajaan Malaysia kemudian memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguat kuasa keputusan mahkamah itu di Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol namun ia belum didengar.
Bagaimanapun pada 2021, Mahkamah Tinggi itu memutuskan serahan notis oleh Stampa kepada kerajaan Malaysia tidak teratur dan teratur mengikut perundangan antarabangsa.
Ia juga tidak selaras undang-undang Sepanyol sendiri dan akibat keputusan pembatalan itu, Stampa bukan lagi penimbang tara selain semua keputusannya tidak sah serta terbatal. – UTUSAN