PUTRAJAYA: Malaysia menyokong teguh resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, resolusi yang ditaja bersama Malaysia itu merupakan hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan beberapa negara lain lagi.
“Ia telah diterima pakai secara konsensus ketika Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang bertempat di New York, Amerika Syarikat (AS) pada semalam,” katanya menerusi kenyataan.
Selain 57 negara anggota OIC, resolusi bersejarah tersebut turut ditaja bersama oleh tujuh lagi negara yang bukan ahli OIC iaitu China, Cuba, Filipina, Nicaragua, Rusia dan Venezuela.
Tarikh 15 Mac dipilih bagi memperingati insiden serangan berdarah ke atas jemaah Muslim semasa mereka solat Jumaat di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 lalu.
Peristiwa yang turut menggemparkan masyarakat antarabangsa itu telah menyebabkan kematian seramai 51 orang dan kecederaan kepada 40 orang yang lain termasuk warga Malaysia.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, penerimaan resolusi itu adalah tepat pada masanya dalam mencerminkan keperluan yang mendesak menangani peningkatan diskriminasi agama.
“Resolusi ini mengecam segala bentuk tindakan keganasan atas sebab agama atau anutan kepercayaan, serta serangan tempat ibadah yang melanggar perundangan sejagat,” katanya.
Ini ujar beliau, turut termasuk mengutuk sentimen kebencian ke atas individu asing atau dirujuk xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan keganasan terhadap umat Islam di seluruh dunia.
Islam jelasnya, ialah agama berlandaskan keamanan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang tindakan ekstremisme atau pelampau yang menyimpang daripada ajaran sebenar.
Justeru, Malaysia akan terus memperjuangkan prinsip hidup bersama dalam budaya damai, meningkatkan keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat yang berbeza agama.
Negara ini juga kata Saifuddin, komited dalam usaha antarabangsa untuk memerangi trend Islamofobia, hasutan dan penindasan dengan berlandaskan kepada semangat ‘Keluarga Dunia’.
“Masyarakat antarabangsa harus mengukuhkan usaha dalam menggalakkan dialog bagi mempromosi hidup bersama dalam budaya damai dan harmoni di semua peringkat,” kata beliau.-UTUSAN










