Malaysia, Singapura teruskan latihan peperangan bersama - Utusan Malaysia

Malaysia, Singapura teruskan latihan peperangan bersama

ZAMROSE Mohd. Zain (depan, kanan) bersama David Neo Chin Wee ketika hadir Upacara Penutup Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 di Felda Ulu Tebrau, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerjasama bilateral Malaysia dan Singapura dalam ketenteraan diteruskan melalui Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) yang sebelum ini tertangguh akibat Covid-19.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, latihan itu sebelum ini tidak dapat dilaksanakan hampir dua tahun akibat penularan wabak itu dan kini dilaksanakan dalam keadaan kebiasaan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, latihan selama tujuh hari itu melibatkan konsep eksesais yang menjurus kepada operasi ofensif melibatkan dua fasa peperangan konvensional.

“Latihan ini bertujuan menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan pelbagai elemen tempur dan bantuan tempur dalam menangani sebarang ancaman di samping mencapai kerjasama bilateral sesama negara.

“Eksesais kali ini dimulakan dengan latihan silang sebelum diteruskan dengan latihan medan,” katanya pada sidang akhbar Upacara Penutup Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 di Felda Ulu Tebrau, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Singapura, Brigedier Jeneral David Neo Chin Wee.

Eksesais semangat bersatu merupakan latihan gabungan yang dilaksanakan setiap tahun secara bergilir antara TDM dan TDS sejak 1990.

Penglibatan peserta pada tahun ini terdiri daripada pasukan-pasukan di bawah naungan Formasi 7 Briged iaitu 6 RRD, 5 RAMD dan pasukan TRUP 3 Div dengan jumlah penglibatan seramai 41 pegawai dan 441 anggota.

Penyertaan dari TDS pula diwakili oleh 1st Bn Singapore Guard yang terdiri daripada sembilan pegawai dan 85 anggota.

Sementara itu, David Neo berkata, latihan tersebut sangat penting untuk terus menjalin persefahaman dan hubungan yang kuat antara kedua-dua tentera Singapura dan Malaysia.

“Kita faham sejak dua tahun ini kita sibuk beroperasi di rantau domestik sendiri kerana Covid-19, tetapi saya sangat gembira seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Zamrose, kami telah berjaya meneruskan latihan fizikal secara bersemuka ini.

“Lebih penting lagi persahabatan dan ikatan diantara kedua-dua negara kerana melalui penganjuran latihan yang sangat baik ini saya percaya askar kami mendapat banyak manfaat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN