KUALA LUMPUR: Negara ASEAN ketika ini sedang berunding dengan China untuk mewujudkan Kod Tatalaku bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, rundingan yang turut disertai Malaysia itu dilakukan tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara terlibat.
Beliau berkata, Malaysia juga sentiasa memastikan rundingan melibatkan isu di wilayah berkenaan sama sekali tidak mengetepikan kedaulatan dan kepentingan negara.
“Sebarang konflik yang berlaku hanya meningkatkan ketegangan sekali gus menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.
“Sebab itu, pertikaian yang timbul perlu diselesaikan secara aman. Tanpa menggunakan kekerasan atau ancaman kekerasan menerusi dialog, rundingan atau Iebih tepat jalan diplomasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamad Sabu (PH – Kota Raja). Mohamad bertanya tentang tindakan kerajaan bersama negara ASEAN dalam isu melibatkan wilayah kelautan berkenaan.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Malaysia tetap komited menyelesaikan isu-isu berkaitan kawasan terbabit secara konstruktif, menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.
“Isu berkaitan Laut China Selatan adalah kompleks berikutan tuntutan-tuntutan bertindih antara negara-negara di rantau ASEAN.
“Pendirian Malaysia juga telah disuarakan secara konsisten di platform-platform antarabangsa khususnya ASEAN,” katanya.
Dalam pada itu ketika konflik Rusia dan Ukraine terus berlanjutan, China pula giat mengadakan latihan ketenteraan selama lebih seminggu di Laut China Selatan.
Latihan ketenteraan itu melibatkan kawasan antara selatan wilayah Hainan dan Vietnam.
Sehubungan itu, kerajaan China memberi amaran kepada semua kapal supaya menjauhi kawasan terbabit bagi mengelak insiden tidak diingini.
Pentadbiran itu juga mengeluarkan koordinat kawasan yang terlibat antara Sanya dan bandar Hue di Vietnam.
Sanya merupakan pangkalan tentera laut utama China. – UTUSAN










