PUTRAJAYA: Malaysia mahu terus kekal sebagai ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2022-2025.
Ketika ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berada di Montevideo, Uruguay bagi menghadiri Perhimpunan XXIV Suruhanjaya Penerbangan Awam Amerika Latin (LACAC) sebelum ke Perhimpunan Agung ICAO Sesi Ke-41.
Ka Siong berkata, Malaysia akan mengesahkan semula komitmen Malaysia untuk terus menyokong inisiatif ICAO ke arah perkhidmatan penerbangan yang lebih selamat dan cekap di seluruh dunia.
Menurutnya, Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini adalah pemain berpengaruh dalam industri di peringkat global dan terus membentuk hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan negara-negara anggota LACAC.
“Saya dan pegawai kementerian akan menghadiri beberapa mesyuarat dan perbincangan dua hala mengenai isu berkaitan penerbangan antarabangsa serta peranan Malaysia dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, beliau sendiri akan menyampaikan ucapan pada Perasmian Perhimpunan sebagai ketua delegasi Malaysia yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ka Siong berkata, Malaysia akan mendapatkan sokongan daripada negara-negara LACAC sempena pencalonan Malaysia untuk mengekalkan kerusi ahli majlis ICAO itu.
“Saya dan delegasi Malaysia akan bertemu dengan ramai rakan sejawatan dari negara Amerika Latin termasuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden ICAO dan LACAC. Sokongan mereka penting bagi membolehkan Malaysia mengekalkan kerusi dalam Majlis ICAO untuk penggal keenam berturut-turut,” katanya. – UTUSAN










