Mahu cipta peluang ekonomi, impian penerima Anugerah Presiden MMU

Mahu cipta peluang ekonomi, impian penerima Anugerah Presiden MMU

ANTARA penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen ke-22, MMU, di Cyberjaya. - IHSAN MMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: “Saya maju mencipta lebih banyak peluang ekonomi dari segi pelaburan sekali gus dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.”

Itu impian penerima Anugerah Presiden Universiti Multimedia (MMU), Muhammad Anwar Abd. Saamad pada Majlis Konvokesyen ke-22 universiti berkenaan yang berakhir hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan itu bersama seorang lagi penerima anugerah berkenaan, Lim Zhou Yi (Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer) selain Teo Yar Lee, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik yang diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi universiti, iaitu Anugerah Canselor. 

Muhammad Anwar berkata, anugerah yang diterima itu memberikan inspirasi kepadanya untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan terutamanya dalam menggapai cita-cita memegang jawatan Pegawai Eksekutif Pelaburan.

“Resipi kejayaan saya ialah tidak sekali-kali takut kepada kegagalan. Fokus saya ialah sentiasa cuba melakukan dengan cara terbaik dan bukannya fokus kepada hasil semata-mata. 

“Kegagalan ialah guru terbaik dan saya selalu melihatnya sebagai suatu peluang untuk memperbaiki diri,” katanya di sini hari ini.

Pada majlis Konvokesyen itu, seramai 13 graduan menerima Anugerah Permata yang merupakan sebahagian dari 3,584 pelajar yang bergraduasi pada tahun lalu.

Dalam majlis selama tiga hari itu, jumlah graduan itu membabitkan seramai 2,143 Ijazah Sarjana Muda, 1,295 Diploma, 108 Sarjana, dan 38 Doktor Falsafah (PhD) daripada bidang kejuruteraan, perkomputeran dan informatik, pengurusan dan perniagaan, undang-undang, sains hayat, komunikasi strategik, kreatif multimedia dan seni senimatik.

Konvokesyen itu ialah majlis kedua pada tahun ini selepas Majlis Konvokesyen Ke-21 yang diadakan pada 12 Mac lalu untuk meraikan 2,839 graduan Kelas 2020.

Sementara itu, Teo Yar Lee melahirkan rasa teruja dengan penganugerahan itu yang disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap kerja kerasnya dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum semasa berada di universiti.

“Ini adalah antara peristiwa terindah yang pernah saya alami. Saya mendedikasikan kejayaan ini kepada ahli keluarga, pensyarah dan sahabat handai. Tanpa mereka, saya tidak mampu berada pada tahap ini,” tambahnya.

Bergraduat dengan CGPA 3.99, Teo yang berasal dari Klang berkata, susah payahnya dalam mengharungi rintangan menamatkan pengajian kini terbalas dengan anugerah tersebut. 

Katanya, dia berjaya menyiapkan projek tahun akhir yang berpotensi untuk dikomersilkan di samping kesibukan tugas sebagai Presiden Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Women in Engineering Cawangan MMU.

Mengulas kejayaan para graduan, Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, ia menunjukkan universiti juga terus berjaya melahirkan pakar-pakar untuk pelbagai industri. 

“Tanggungjawab kita bersama alumni MMU di seluruh dunia ialah meningkatkan lagi pembangunan universiti ini ke tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.

Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi menyampaikan anugerah dan skrol pada hari pertama majlis konvokesyen itu manakala Pro-Canselor MMU, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid menyampaikan skrol pada hari kedua majlis.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN