KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan gagal menjawab soalan berkenaan tarikh sebenar pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang sekian lama diperjuangkan oleh golongan pekerja di negara ini.
Ketika ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai tarikh tersebut, M. Saravanan sebaliknya meramalkan gaji minimum mungkin dilaksanakan dalam masa terdekat.
Anwar mengasak Ahli Parlimen Tapah itu mengenai masa terdekat yang disebutkan, dan bertanya secara sinis jika ‘masa terdekat’ itu adalah pada tahun 2026.
“Gaji minimum itu bila? Masa terdekat itu tahun 2026 atau bila?,” soalnya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sambil tertawa, M. Saravanan pula menjelaskan, Kabinet sudah berbincang mengenai perkara itu selama tiga minggu berturut-turut dan amat prihatin menaikkannya seperti yang disuarakan Anwar.
“Semua jemaah menteri sudah bersetuju kita perlu menaikkan isu ini, mungkin sebulan dua bulan (dilaksanakan).
“Yang Berhormat pun pernah menjadi menteri, apabila kita umumkan, saya perlu dapat mandat daripada Jemaah Menteri, maka dalam sebulan dua itu kita akan buat.
“Apabila saya umumkan gaji minimum, saya tidak mahu pihak majikan mengurangkan jumlah pekerja dengan alasan perniagaan mereka merosot, maka kita sedang mengenal pasti beberapa sektor yang kita beri pengecualian dalam bulan April,” katanya. – UTUSAN