KUALA LUMPUR: Tindakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak memulangkan caruman menyebabkan hasil kerajaan berkurangan berjumlah RM695.05 juta bagi tahun 2018 hingga 2020.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini, caruman itu seharusnya diserahkan kepada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 9(3) Akta 101.
Sebaliknya, semakan audit mendapati LTAT telah memulangkan caruman kerajaan itu yang melibatkan 9,542 pencarum berstatus pencen bagi 2018 hingga 2020 kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
“Caruman kerajaan ini sepatutnya dipulangkan kepada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 9(3) Akta 101.
“Perenggan 9(3) Akta 101 menyatakan dengan jelas bahawa caruman perlu dipulangkan kepada Kumpulan Wang Disatukan, iaitu akaun Kerajaan Persekutuan,” kata laporan itu.
Laporan itu juga menyatakan bahawa pandangan panel peguam yang diterima pada 18 Nov 2021 menyatakan caruman kerajaan yang dibayar LTAT kepada KWAP adalah tidak selaras dengan perenggan 9(3) Akta 101.
Menurut laporan itu, LTAT bertanggungjawab untuk memulangkan caruman kerajaan tersebut kepada Kumpulan Wang Disatukan.-UTUSAN ONLINE










