KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja perlu dilibat sama dan dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, institusi raja bukan sebuah entiti berbentuk hiasan untuk menyempurnakan peranan bersifat upacara atau istiadat.
Titah baginda, institusi raja merupakan entiti yang termaktub di dalam Perlembagaan untuk memenuhi amanah dan peranan mekanisme semak dan imbang serta mengimbangkan pelbagai perkara yang diangkat sembah untuk pertimbangan takhta.
“Pilihan raya diadakan bukan sahaja untuk memilih ahli-ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, malah turut diadakan untuk memilih ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri.
“Meskipun SPR ialah badan yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, namun urusan pilihan raya di peringkat negeri turut dikendalikan oleh suruhanjaya yang sama.
“Oleh itu amatlah relevan untuk Majlis Raja-Raja dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik Pengerusi dan ahli-ahli SPR.
“Bersama Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja wajib memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan untuk memastikan SPR mendapat kepercayaan awam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir di Hotel Majestic, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mohd Hamdi Abd. Shukor, pengarang bersama buku itu, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dan Dr. G. Manimaran.
Mengulas lanjut, Sultan Nazrin bertitah, SPR juga perlu berfungsi sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh kerajaan mahupun parti politik.
Baginda bertitah, SPR sebagai badan dilantik Yang di-Pertuan Agong wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali dan tanpa memihak serta mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikaikan dan ketelusan yang tidak akan diragui.
“SPR ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon dan parti politik ketika berlangsungnya pilihan raya.
“Justeru, SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali tanpa memihak dan kelihatan secara nyata tanpa ragu bersikap berkecuali, tanpa memihak.
“Atas sifat berkecuali, tanpa memihak, SPR diberi amanah dan kuasa untuk memastikan pilihan raya berlangsung dan kelihatan tanpa ragu, berlangsung secara adil dan bebas, urusan pengundian dipermudahkan dan rakyat tanpa gentar, tekanan, takut dan gusar, serta bebas dan berasa selesa mengundi secara rahsia,” titah baginda. – UTUSAN