Lelaki samun kedai emas diburu - Utusan Malaysia

Lelaki samun kedai emas diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit dekat sini petang tadi.

Pusat kawalan daerah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima maklumat berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 2.47 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan mendapati suspek seorang lelaki yang menggunakan sebuah motosikal Honda Dash warna biru namun nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

Menurut beliau, semasa kejadian, terdapat dua orang pekerja dalam kedai emas tersebut.

“Suspek dipercayai menggunakan besi untuk memecahkan rak pameran barangan kemas. Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM5,000.

“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Kita sedang mengesan dan mengenal pasti identiti suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama.

“Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lunpur di talian 03-2115999 atau mana-mana polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN