PETALING JAYA: Projek perolehan enam buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) perlu diteruskan kerajaan bagi memenuhi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, keputusan berkenaan sama ada projek perlu diteruskan atau tidak perlu dibuat penghujung tahun ini.
“LCS sebagai mana kita tahu, syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) ada masalah sedikit.
“Kita harap kerajaan buat keputusan sebelum hujung bulan ini sama ada mahu meneruskan projek ini atau tidak. Tetapi TLDM berpandangan projek berkenaan perlu diteruskan berikutan dah lama sgt kita tunggu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan (NATSEC) Asia 2022, di sini hari ini.
Projek LCS sebelum ini berdepan kelewatan berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan. – UTUSAN










