ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang masing-masing bertembung di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Paya Rumput di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa N. Sivalingam, 70, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Nasrul Hafiz Muhammad Fairuz Tai, 23, parah dan dimasukkan ke Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila salah sebuah kenderaan telah menunggang secara melawan arus dari arah Rembia menghala ke lampu isyarat Paya Rumput Indah.
Katanya, ketika kejadian warga emas berkenaan menunggang motosikal jenis Honda Wave, manakala pemuda tersebut membawa Yamaha 135LC.
“Kita dapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mereka bertembung dan dipercayai salah sebuah telah menunggang secara melawan arus. Akibat kemalangan itu juga, kedua-dua buah motosikal berkenaan telah melanggar sebuah lagi kereta jenis Nissan Almera yang berada di lorong kiri jalan,“ katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan setakat ini saksi kejadian iaitu pemandu kereta berusia 39 tahun itu juga tidak dapat mengesahkan, penunggang mana yang melawan arus.
“Tiada sebarang saksi bebas dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, hanya kesan calar di atas jalan raya lebih kurang lima meter. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN