KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri diseru melaksanakan kajian impak perang Rusia-Ukraine ke atas pembangunan Terengganu bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terus terjejas.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, cadangan-cadangan khusus perlu dikemukakan dalam usaha mengurangkan impak langsung terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Titah baginda, kedua-dua golongan itu sudah cukup terkesan dan terbeban dengan kos barangan terutama makanan yang meningkat susulan wabak Covid-19.
“Sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia turut menyebabkan harga komoditi seperti bahan api di samping makanan seperti gandum dan jagung, meningkat.
“Beta yakin kerajaan Beta akan meneruskan usaha-usaha membantu golongan yang lemah dan terkesan,” titah baginda dalam istiadat pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Titah baginda dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sultan Mizan bertitah, data terkini merekodkan seramai 985 golongan miskin tegar di samping 26,526 orang miskin di Terengganu yang memerlukan perhatian semua pihak.
Baginda turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini Covid-19 yang terus mencatatkan trend peningkatan sejak penularan varian Omicron.
“Oleh itu, beta menyeru pihak kerajaan dan rakyat di negeri ini untuk meningkatkan amalan penjagaan kebersihan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” titah baginda.-UTUSAN










