KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Tidak dinafikan pengeluaran khas wang KWSP ini sedikit sebanyak mampu membantu meringankan beban rakyat yang masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19.
Young Syefura berkata, namun demikian beliau sedikit terkilan kerana pengeluaran khas wang KWSP ini bukan bantuan kewangan daripada kerajaan kepada rakyat seperti mana pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) ataupun Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Sebaliknya beliau berkata, ia adalah pengeluaran yang dibuat daripada tabung persaraan rakyat.
“Namun demikian, saya pasti berita ini adalah berita yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian daripada rakyat yang benar-benar memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.
“Saya berharap kebenaran pengeluaran khas wang KWSP ini tidak disertai dengan syarat-syarat yang membebankan dan remeh yang akhirnya menyukarkan proses pengeluaran wang KWSP ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya di sini hari ini.
Young Syefura juga menasihati orang ramai terutama golongan muda dan yang masih berkemampuan untuk meneruskan kehidupan seharian agar tidak membuat pengeluaran khas wang KWSP ini jika tiada keperluan ataupun kecemasan.
“Ini adalah kerana wang ini adalah simpanan untuk hari tua kita. Kepada yang benar-benar memerlukan wang ini, saya berharap agar ia dapat meringankan beban yang ditanggung dan berharap agar wang ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN










