KUALA SELANGOR: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan penubuhan sebanyak 200 koperasi masjid di seluruh negara pada tahun ini.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini hanya 462 masjid daripada keseluruhan 6,514 buah masjid seluruh negara telah mewujudkan koperasi tersebut.
“Kita menyasarkan penubuhan koperasi kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan. Setakat ini kita baru ada lapan peratus.
“Selangor sahaja mempunyai 66 buah koperasi daripada 424 buah masjid. Kita mahu bukan sahaja di Selangor malahan seluruh negara ada koperasi,” katanya ketika menyampaikan sumbangan moreh kepada wakil masjid dan surau di kawasan Parlimen Tanjong Karang malam tadi.
Beliau menambah , bagi memperkasa buat penubuhan koperasi masjid buat julung-julung kalinya, pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengadakan seminar bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri seluruh negara di Movenpick Sepang 8 Mac lalu.
Katanya lagi, seminar tersebut penting bagi pihak SKM menerangkan misi dan visi koperasi masjid dalam menjana ekonomi ummah.
Mengulas mengenai isu pentadbiran masjid dan koperasi Noh berkata, satu undang-undang telah digubal bagi memastikan apabila berlaku perubahan jawatankuasa masjid ia tidak memberi kesan kepada struktur pentadbiran dalam koperasi.
“Melalui peruntukan undang-undang tersebut, tiga jawatan utama dalam jawatankuasa masjid seperti Nazir, Setiausaha dan Bendahari turut menjadi ahli lembaga pengarah koperasi.
“Ini bagi memastikan pentadbiran koperasi masjid dapat diteruskan jika berlaku sebarang perubahan jawatankuasa masjid yang bergantung kepada keputusan kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN










