KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui sedar berlakunya kes penyelewengan subsidi minyak masak dan sentiasa mengambil langkah bagi menangani masalah itu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sentiasa memantau, mengesan dan menyiasat semua aduan tetapi enggan mengulas mengenai kes 63 syarikat yang dikesan menyeleweng subsidi minyak masak seperti didedahkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut beliau, penguat kuasa KPDNHEP sudah berhubung dengan pihak LHDN bagi memperincikan kes sebenar dan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh pihak kementerian.
“Bagi pihak KPDNHEP, saya menyambut baik apa yang dinyatakan LHDN itu dan sebenarnya KPDNHEP sedar (apa yang) berlaku dan sentiasa memantau, mengesan dan menyiasat kes-kes serupa,” kata beliau mengulas laporan mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd. Nizom Sairi bahawa pihaknya mengesan 63 syarikat dikesan melakukan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar RM200 juta.
Terdahulu, Alexander menyaksikan majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan melibatkan dua unit N15 Patient Monitor bernilai RM100,000 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Penyerahan sumbangan wakalah zakat korporat SSM itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad kepada Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi. – UTUSAN