IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak Tengah telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Kor Ming berkata, perbuatan itu dilakukan oleh individu tidak yang tidak bertanggungjawab dan perkara itu merupakan salah laku yang cukup serius.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak sehubungan itu mahu pihak yang bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.
“Sepatutnya Perak mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa, ia salah satu janji dalam Manifesto BN pada 2013 tetapi sekarang sudah hampir 10 tahun, di manakah lapangan terbang antarabangsa itu?
“Saya difahamkan lapangan terbang Seri Iskandar telah dijual oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab tanpa kebenaran mesyuarat Exco.
“Ini adalah salah laku yang cukup serius dan saya harap kerajaan negeri akan membawa mereka bertanggungjawab menjual tanah lapangan terbang ini dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya ketika mencelah dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau mencelah sewaktu Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) membahaskan titah ucapan diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa merasmikan sidang DUN semalam.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, isu lapangan terbang Seri Iskandar tidak pernah diambil keputusan atau dibincangkan dalam pentadbiran lalu (kerajaan negeri Pakatan Harapan) ketika beliau sebahagian daripada pentadbiran pada masa itu.
Menurutnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) beberapa bulan lalu ada membangkitkan perkara itu dan beliau cuba cari maklumat daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri mengenainya.
“Tapi seperti yang kita sedia maklumkan, perkara itu sukar untuk berlaku kerana mereka (PTG) sudah pastinya tidak bersedia untuk memberikan maklumat dan kerjasama.
“Jadi saya fikir terpulang kepada pentadbiran sekarang untuk menggali atau untuk menjernihkan soalan ini kerana saya fikir ini satu persiapan yang perlu diambil kalau kita (kerajaan negeri) serius nak bawa Perak keluar daripada empat negeri termiskin,” katanya.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di Seri Iskandar. – UTUSAN










