SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini giat mendapatkan sumber bahan mentah termasuk input-input pertanian daripada beberapa buah negara lain susulan peperangan berterusan antara Rusia dan Ukraine ketika ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Haslina Abdul Hamid menjelaskan, negara sememangnya ada mengimport bahan input pertanian seperti baja dari kedua buah negara tersebut yang diketahui antara negara pengeluar utama di dunia bagi bahan tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, konflik yang tercetus tersebut setakat ini belum memberikan implikasi yang besar dalam sektor pertanian negara.
“Memang kita mengimport bahan mentah dari sana seperti input pertanian, baja sebagai contoh tetapi kita giat usaha untuk dapatkan dan bawa masuk dari negara-negara lain.
“Sebelum berlaku peperangan, kita juga sudah uruskan untuk membawa masuk sebahagian besar. Sebulan dua ini tidak ada lagi masalah, cuma sedang lihat dari negara-negara lain yang juga jadi pengeluar utama, selain Ukraine dan Rusia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Kecemerlangan dan Kecergasan Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tahun 2022 di Nilai di sini hari ini.
Sementara itu, kata Haslina, situasi pergolakan negara-negara terlibat ketika ini juga sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada harga makanan ternakan di pasaran dunia.
“(Kenaikan harga) dedak itu lumrah, ia bergantung kepada harga pasaran dunia, sekarang ini dengan keadaan semasa ia terjejas sedikit. Bagaimanapun setakat ini belum memberi implikasi yang tinggi dan kita sentiasa pastikan keadaan itu dalam kawalan.
“Kita juga cuba cari pilihan negara sumber yang lain dan juga sedang mempergiat usaha-usaha dalaman dalam negara untuk kita atasi masalah-masalah yang kita hadapi,” katanya.
Hari ini media melaporkan konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan harga komoditi di seluruh dunia melonjak di tengah-tengah kebimbangan dan reaksi mendadak terhadap kemungkinan kejatuhan dari segi bekalan.
Ini kerana, kedua-dua negara adalah pengeluar utama, antara lain, minyak bunga matahari, gandum dan jagung.
Bekalan baja turut dibimbangi terganggu akibat konflik kerana kedua-dua negara juga pengeksport baja utama. – UTUSAN