PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 22,535 kes positif berbanding kelmarin, 26,250 kes sekali gus mengatasi 25,356 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan 384 kes berbanding kelmarin, 367 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan sedikit peningkatan kepada 222 kes berbanding kelmarin, 211 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan enam kluster berbanding kelmarin, dua kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,881 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 389 kluster berbanding kelmarin, 395 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,492 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 185 kes daripada 22,535 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 22,350 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 185 kes kategori tiga, empat dan lima, 39 kes atau 21.08 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 88 kes atau 47.57 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 58 kes atau 31.35 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 109 kes atau 58.92 peratus berumur 60 tahun dan ke atas dan 53 kes atau 28.65 peratus mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 87 kes berbanding semalam, 78 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,807 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 25 daripada 87 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,043 kes. – UTUSAN










