PETALING JAYA: Ketua Pemuda Sosialis DAP, (DAPSY), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen menggesa pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tular hari ini untuk dikenakan tindakan sewajarnya termasuk menggantung sementara ketika siasatan dijalankan.
Beliau berkata, DAPSY mengambil berat dan prihatin terhadap klip video yang tular apabila ia jelas sekali menghina dan bersikap kurang sopan hanya disebabkan status ekonomi mahasiswa dan keluarganya.
Sehubungan itu, katanya, kelakuan ahli akademik tersebut tidak haruslah dipandang rendah, malah tidak haruslah dipertahankan.
“Sebagai seorang ahli akademik atau pensyarah, beliau sepatutnya lebih bersimpati dan memahami keadaan mahasiswa tersebut dan berusaha untuk membantunya, bukan memperli atau menghinanya kerana tidak mempu memiliki sebuah komputer riba atau atas taraf sosio-ekonomi keluarganya.
“Walaupun nak bagi ‘nasihat’, haruslah ada sifat kemanusiaan untuk mendidik dan memastikan seseorang mahasiswa tersebut dapat merealisasikan potensinya dan akhirnya membawa bakti kepada negara kita.
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa isu ini tidak haruslah dipandang remeh dan pihak UiTM dan universiti haruslah pastikan bahawa ahli akademik tersebut dikenakan tindakan sewajarnya termasuk digantung sementara siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, video yang berdurasi 1.44 itu tular dalam media sosial apabila seorang pensyarah mempersoal salah seorang pelajarnya yang hanya menggunakan telefon bimbit untuk pembelajaran, rakaman itu seterusnya mengundang pelbagai reaksi oleh warga maya.
Bagaimanapun, Dr. Kelvin berkata, perkara asasnya juga haruslah ditangani oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan iaitu isu mahasiswa yang masih belum mampu memiliki laptop atau alat peranti.
Katanya, ini kerana ia merupakan sebagai satu keperluan asas di peringkat universiti.
“Kerajaan seharusnya ada polisi yang holistik untuk memastikan setiap mahasiswa di Malaysia yang tidak mampu terutamanya dari golongan B40 untuk mendapatkan sebuah komputer riba atau alat peranti yang diperlukan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding dengan mahasiswa-mahasiswa lain yang mungkin mampu memiliki komputer riba tersendiri.
“Kerajaan haruslah memperluas inisiatif ‘PerantiSiswa’ yang dilancarkan pada Belanjawan 2022 untuk memastikan setiap mahasiswa dan pelajar B40 mendapat sebuah laptop yang merupakan saya keperluan penting terutamanya di institusi pengajian tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga mendesak agar kerajaan mempercepatkan pengedaran komputer riba tersebut supaya mereka yang memerlukannya akan mendapatnya secepat mungkin dan tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka.
Katanya, kerajaan juga boleh menyediakan perkhidmatan pinjaman tanpa faedah untuk mahasiswa yang lain untuk memperoleh komputer riba tersebut yang hanya perlu dibayar selepas mereka menghabiskan pembelajaran dan mendapat kerja.
“Oleh itu, kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan pensyarah UiTM tersebut, namun isu pokok haruslah ditangani secara holistik oleh pihak kerajaan iaitu untuk memastikan setiap mahasiswa mampu memiliki komputer riba sendiri untuk memastikan pembelajaran lancar untuk semua pelajar di universiti,” katanya. – UTUSAN