Ketagih buat ‘live’ ketika memandu

Ketagih buat ‘live’ ketika memandu

MENGGUNAKAN telefon bimbit semasa memandu merupakan satu kesalahan jalan raya-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketagihan melampau terhadap media sosial sehingga terdapat individu sanggup membuat rakaman secara langsung atau live di Facebook ketika memandu walhal perbuatan itu jelas melanggar undang-undang jalan raya.

Malah, jika pemandu meme­gang dan menggunakan apa-apa alat telekomunikasi adalah satu kesalahan di bawah Kaedah 17A, Kaedah-kedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/1959) yang tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan manakala sabitan kali kedua membabitkan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, sebanyak 81,483 saman dikeluarkan atas kesalahan menggunakan te­lefon bimbit melibatkan 41,796 saman pada 2020 dan 39,687 pada tahun lalu.

MAT KASIM KARIM

Katanya, analisis JSPT mendapati pengguna jalan raya paling banyak menggunakan alatan telekomunikasi adalah pemandu kereta iaitu 59,222 saman dalam tempoh tersebut.

“Ia diikuti dengan pemandu lori iaitu 10,389 saman, pemandu pacuan empat roda atau jip (6,490), van (3,398 saman), motosikal (1,676) dan bas (180).

“Antara alasan diberikan ke­rana menggunakan aplikasi jalan seperti ‘Waze’, Maps serta menjawab panggilan dan membalas mesej penting,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurut Mat Kassim, terdapat juga pemandu dikesan ‘melayan’ live di Facebook atau media sosial lain hingga menyebabkan pemanduan terganggu.

Jelasnya, menggunakan te­lefon bimbit boleh menyebabkan pemandu hilang tumpuan selain menjejaskan kawalan stereng.

“Ini menyebabkan mereka lambat bertindak balas dalam apa jua situasi sehinggakan boleh berlakunya kemalangan jalan raya.

“Penggunaan telefon bimbit ketika memandu adalah perkara serius dan amat membimbangkan, kita meletakkan kesalahan ini antara satu daripada enam punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini.

“Bagaimanapun, JSPT sentiasa melakukan operasi dan tindakan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan ditetapkan,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN