Kes video pukul tular, suspek dakwa mangsa mencabarnya dulu

Kes video pukul tular, suspek dakwa mangsa mencabarnya dulu

TANGKAP layar video memaparkan seorang lelaki memukul penunggang basikal di persimpangan lampu isyarat dekat AEON Seri Manjung di Lumut, Perak, semalam. -MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pemandu Proton Wira berwarna biru memukul seorang penunggang basikal yang mana video kejadian itu tular dalam media sosial, hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 34 tahun itu hadir di IPD Manjung kira-kira pukul 2.30 petang dan mengaku meminjam kereta rakannya.

Katanya, mangsa yang membawa basikal pula berada di lorong kiri jalan di lampu isyarat simpang empat AEON Mall Seri Manjung.

“Apabila tiba di tempat kejadian, semasa suspek mahu membelok ke susur kiri laluan di persimpangan tersebut, mangsa dikatakan beranggapan yang suspek ingin menghimpit dan melanggarnya. 

“Oleh kerana salah faham, suspek bertindak memukulnya kerana mangsa didakwa memaki hamun serta mencabar lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nor Omar, sehingga kini, mangsa belum dikenal pasti dan tiada sebarang laporan polis dibuat penunggang basikal tersebut.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Nor Omar memberitahu, polis akan mengemukakan permohonan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Daerah Manjung untuk mendapatkan Perintah Meneruskan Siasatan (OTI) bagi meneruskan penyiasatan kes tersebut.

Terdahulu, kira-kira pukul 10 pagi semalam, satu laporan polis dibuat oleh seorang wanita berkaitan dengan insiden video yang ditularkan dalam laman media sosial.

Menurut Nor Omar, wanita itu membuat laporan selepas menonton video tersebut yang dimuat naik dalam Facebook Sukan Star TV, ketika pengadu berada di pejabatnya.

Dalam video tersebut dipercayai dirakam menerusi kamera kenderaan yang berada di belakang Proton Wira tersebut, kelihatan kereta itu berhenti di jalan susur sebelah kiri menuju ke AEON Seri Manjung.

Seorang lelaki kemudian keluar dari kereta itu sambil memegang sebatang alat panjang dipercayai batang besi dan menuju kepada seorang lelaki menaiki basikal yang sedang berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah.

Lelaki itu kemudian dilihat melibas batang besi tersebut ke arah lelaki tersebut yang cuba mengelak sehingga basikalnya terjatuh. Suspek kemudian kembali ke kereta dipandunya dan beredar dari situ. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya