MELAKA: Sebanyak 292 kes keganasan rumah tangga (KRT) direkodkan di Melaka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, jumlah itu bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 21.5 peratus berbanding 2020.
“Pada tahun lalu kita merekodkan sebanyak 292 kes KRT, manakala tahun sebelumnya 349 kes dilaporkan.
“Kes-kes KRT ini menunjukkan penurunan dan pada tahun ini, antara kes serius direkodkan adalah kejadian simbah minyak panas terhadap isteri dan bayi di Semabok, serta satu kes diganggu bekas suami,” katanya pada sidang akhbar Program Wanita Bersatu Mencegah Jenayah peringkat negeri di Banda Hilir, di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah dan Pengerusi Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia negeri, Edison Chan Tian Han.
Tambahnya, kes jenayah membabitkan wanita di negeri ini juga menurun sebanyak 21.5 peratus pada 2021 membabitkan kes rogol, cabul, liwat, seksual terhadap kanak-Kanak, kesalahan di bawah Seksyen 509 dan 292 Kanun Keseksaan.
Ditanya mengenai pengumuman tindakan sekatan dan pembekuan akaun bank suami yang culas memberi nafkah, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu pengiktirafan untuk golongan wanita.
“Ini adalah satu pengiktirafan yang baik kepada golongan wanita kerana banyak kes apabila melibatkan penceraian, hak-hak wanita termasuk nafkah tidak diberikan secara adil.
“Tindakan membekukan akaun bekas suami ini merupakan satu penyelesaian terbaik untuk membantu wanita meneruskan kehidupan dan kebiasaannya apabila seseorang wanita itu meninggalkan rumahnya, dia membawa anaknya sekali,” jelasnya.
Tambahnya, keputusan itu juga merupakan satu amaran kepada kaum lelaki untuk sentiasa melunaskan tanggungjawab, khususnya dalam memberikan nafkah dan lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan bercerai. – UTUSAN










