TAMPIN: Peningkatan kes Covid-19 ketika ini turut mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap buah kelapa muda.
Perkara tersebut tidak dinafikan seorang penanam pokok kelapa, Mohd. Ali Nafiah Harun, 62, dari Kampung Chempedak, Repah, di sini yang mendapati permintaan itu meningkat melebihi sekali ganda.
Bekas pesara polis itu berkata, sejak Covid-19 melanda negara, permintaan kelapa muda yang diusahakannya sejak tujuh tahun lalu juga meningkat sehingga 2,000 biji sebulan.
“Purata permintaan kelapa muda adalah sekitar 500 ke 700 biji sebulan, namun sejak bermulanya pandemik Covid-19 sehingga kini, permintaannya boleh mencecah sehingga 2,000 biji kelapa sebulan.
“Permintaan memang banyak dan kadangkala tidak cukup. Saya juga terkejut apabila permintaan meningkat, namu, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sememangnya air kelapa muda terkenal dengan pelbagai khasiat termasuklah ikhtiar dalam merawat demam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Menurut Mohd. Ali lagi, dia memiliki 60 batang pokok kelapa pelbagai jenis antaranya kelapa pandan, gading dan hijau yang ditanam di atas tanah seluas suku hektar di halaman rumahnya.
“Tanaman kelapa ini tidak pernah mendatangkan kerugian kerana permintaannya sentiasa ada, baik kelapa muda atau tua.
“Sekiranya kelapa tua, ia boleh dijual sebagai benih dengan harga sekitar RM15 ke atas mengikut jenis kelapa. Lidi kelapa juga boleh dijadikan penyapu dan dijual kepada sesiapa yang berminat.
“Bagaimanapun, ketika ini, saya fokus kepada penjualan buah kelapa dengan harga serendah RM2 sebiji,” katanya yang turut berhasrat untuk menambah bilangan pokok kelapa yang ditanamnya. – UTUSAN