KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Siasatan melibatkan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim memutuskan untuk mendapatkan kerjasama daripada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti bergambar serta rakaman video kejadian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka yang tidak berpeluang tampil memberi maklumat diseru menghubungi sekretariat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.
“Pihak yang berkenaan boleh menghubungi Yusof Ali di talian 03-8885190 atau emel [email protected] atau Sanjeetha Nair di talian 03-88851209 atau emel [email protected],” katanya.
Wan Junaidi yang merupakan Pengerusi jawatan kuasa itu berkata, beliau telah mendengar pembentangan Laporan Interim yang merupakan laporan kemajuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Khas Teknikal.
“Laporan Interim ini telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu tiga bulan dari tarikh ditubuhkan dan telah dibentangkan hari ini.
“Laporan ini juga telah dibentangkan oleh Prof. Madya Datuk Dr. Sundramoorthy M. Pathmanathan selaku Setiausaha Jawatankuasa Khas Teknikal.
“Laporan ini berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam mendapatkan fakta lanjut berkaitan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan pula telah dipersetujui pada 8 Disember 2021 dan mesyuarat pertama telah diadakan pada 21 Disember tahun sama.
Jawatankuasa Khas Siasatan juga bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal yang dapat membantu dalam proses pencarian fakta manakala Laporan Akhir akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya. –UTUSAN










