SABAK BERNAM: Kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan petugas dalam waktu terdekat bagi memantau cerun berisiko tinggi berlaku tanah runtuh di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, kejadian tanah runtuh dianggap isu serius yang perlu ditangani segera dan secara menyeluruh.
Menurutnya, pasukan itu bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan perkara tersebut sudah dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Kita juga akan mengadakan mesyuarat khas tentang cerun disebabkan isu ini tidak diselaraskan sama ada di bawah kawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya pada Majlis Perasmian dan Lawatan ke Kelong Paradise Sabak Bernam di sini, hari ini.
Beliau menambah, selain itu, kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), SELGEM Sdn Bhd (SELGEM) yang akan membuat kajian untuk melihat cerun yang berpotensi dan berisiko runtuh.
Katanya lagi, faktor hujan berterusan dan tidak menentu menyebabkan sebahagian cerun di sesetengah kawasan mulai longgar dan berpotensi mengalami kejadian tanah runtuh.
“Jadi perkara ini kita perlu buat kajian bagi memastikan kategori kritikal ini diberi keutamaan segera,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri mengenal pasti lebih 150 cerun berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat. – UTUSAN










