SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bakal membentangkan kertas cadangan bagi menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri berkenaan pada persidangan DUN akan datang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut dibuat setelah beliau menerima maklumat berhubung jumlah pengundi terkini di negeri itu daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.
“Pihak SPR telah memaklumkan bahawa terdapat penambahan jumlah pengundi yang ketara di beberapa kawasan DUN setelah undi 18 serta automatik dilaksanakan.
“Melihat perkara tersebut, kita melihat perlu keseimbangan di antara jumlah pengundi di sesebuah kawasan pengundi,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2022 di Dewan Annex, di sini, hari ini.
Amirudin memaklumkan pada ketika ini, Selangor mempunyai 3.66 juta pengundi pada ketika ini, dan diunjurkan mempunyai pengundi mencecah lima juta orang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, sebanyak 19 kawasan DUN yang mempunyai pengundi lebih 75,000 orang manakala sebahagian kawasan pula memperoleh jumlah pengundi minimal.
“Misalnya, DUN Kinrara mempunyai 118,000 pengundi, Subang Jaya (109,000 pengundi) dan Bukit Lanjan (106,000 pengundi).
“Tetapi DUN Sungai Air Tawar mempunyai 19,000 pengundi dan hanya 23,000 pengundi di Sekinchan.
“Jadi, ada keperluan untuk kita membentangkan usul ini pada sesi mesyuarat akan datang atau paling cepat, ia dibentangkan ketika sesi Belanjawan Selangor akan datang,” tegasnya.
Justeru beliau berharap, usul terbabit mendapat persetujuan majoriti dua pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika sesi mesyuarat akan datang supaya usul itu dapat dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan serta mendapat persetujuan.-UTUSAN
HABIS










