Kerajaan Sarawak sokong semakan semula geran khas Sabah dan Sarawak

Kerajaan Sarawak sokong semakan semula geran khas Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong perbincangan yang akan diadakan mengenai semakan geran khas untuk Sarawak yang akan berlangsung antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan tidak lama lagi.

Katanya, perkara ini merupakan berita baik khasnya buat rakyat di Sarawak.

Abdul Karim Rahman Hamzah

“Seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Parlimen baru-baru ini, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan dan menghormati hak Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pada masa yang sama, kita menerima baik penyerahan kuasa dalam pengagihan gas petroleum cecair (LPG) di negeri Sarawak yang telah pun berlangsung pada 1 Jun tahun lepas, selepas ianya dipersetujui semasa Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), yang diketuai bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Tambah Abdul Karim, Sarawak dan Sabah turut diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen perikanan laut pada 18 Oktober lalu semasa mesyuarat MKMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di mana butirannya dijangka diselesaikan selewat-lewatnya bulan depan.

“Alhamdullilah, Sarawak bersama negeri Sabah akan mendapat manfaat daripada pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 14 Disember tahun lalu.

“Justeru, kita akan sentiasa menyokong usaha berterusan dalam resolusi penting dan bersejarah pada pindaan perlembagaan kepada Perkara 1(2) dan 160(2) yang berkaitan dengan status sama rata Sabah dan Sarawak, untuk mentakrifkan semula ‘persekutuan’, dan menginstitusikan 16 September, sebagai Hari Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Abdul Karim juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), yang dinyatakan akan terus membincangkan isu-isu mendesak dan memastikan hak dan tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak dipenuhi.

“Kita juga mengalu-alukan penganjuran mesyuarat dan perbincangan yang terus diadakan sepanjang tahun dengan tujuan untuk menyelesaikan sebarang isu sepanjang perjalanan,” katanya. UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya