ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan wajar membuat pertimbangan yang bijak berhubung permintaan Kedah untuk mengeksport ketum ke Thailand, sebelum memutuskan sama ada mahu menerima atau menolak cadangan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri contohnya boleh menyemak sendiri mengenai sumber kewangan dan tenaga penjawat awam yang terpaksa dikerah bagi menghalang penyeludupan tumbuhan itu ke negara jiran.
Katanya, beliau percaya isu tersebut dapat diatasi dengan cara membenarkan proses eksport daun tersebut secara sah seperti dimohon Kedah kepada Kerajaan Persekutuan.
“Bahan-bahan rampasan juga menjadi beban kepada agensi penguat kuasa dan proses pendakwaan. Apa yang sepatutnya diberi perhatian oleh KDN adalah penyalahgunaan daun ketum sebagai minuman yang menjejaskan kesihatan. Untuk ketum yang mahu dieksport pula, perkara itu tidak sepatutnya menjadi hal kerana negara luar sudah memiliki teknologi dan menemukan khasiat ketum bagi produk kesihatan. Justeru kerajaan Pusat wajar membuat pertimbangan bijak dengan KDN boleh mendapatkan laporan lengkap daripada agensi di bawahnya untuk pengesahan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini yang menyatakan KDN tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand ketika ini, kerana tindakan itu menyalahi Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini.
Menurut Hamzah, akta tersebut antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat pil produk kesihatan di negara-negara Eropah dengan salah satu herba penting di dalamnya diperkenalkan sebagai ‘kratom’ dari Malaysia.
“Macam mana itu boleh berlaku di Eropah sedangkan kita tak pernah benarkan kegiatan mengeksport daun tersebut. Maka tidak mustahil jika dikatakan ada ratusan hektar tanah dan mungkin juga ribuan hektar yang digunakan untuk ditanam ketum di negara ini, lalu dipasarkan secara salah. Jelas sekali perkara sebegini merugikan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, sekiranya cadangan itu dibenarkan, kerajaan boleh menyelaraskan data jumlah pengeluaran ketum mengikut daerah dan negeri serta hasil yang diterima daripada kegiatan mengeksport ketum tersebut.
“Kerajaan juga boleh mendaftarkan penanam seperti mana kita lakukan kepada pekebun-pekebun kecil ketika ini. Namun semua itu tak dilaksanakan ketika ini di mana kegiatan menjual ketum dilaksanakan secara ‘curi-curi’ saja. Selain itu apabila kegiatan mengeksport ketum sudah menjadi sah, kerajaan juga boleh mengetahui angka berkaitan pengeluaran dan penggunaannya. Kerajaan dalam masa sama dapat mengutip cukai eksport daripada kegiatan itu,” katanya. – UTUSAN