Kerajaaan perlu mandat lebih besar, stabil

Kerajaaan perlu mandat lebih besar, stabil

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memerlukan mandat lebih besar dan stabil untuk tidak bergantung kepada sokongan pembangkang dalam apa sahaja pembentangan rang undang-undang (RUU).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu jelas apabila kerajaan tewas dalam undian belah bahagi berkaitan subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam dengan undian 86-84, kekalahan dengan dua undi. 

Katanya, beliau sendiri tidak dapat menyertai undian itu selaku Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan kerana berada di Dubai mengikuti Expo Dubai 2020 atas kapasiti Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Namun, kata Ahli Parlimen Bebas itu, surat makluman telah dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan ketidakhadirannya dalam tempoh tersebut.

“Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan termasuk Bebas mempunyai lebihan angka yang sangat nipis dengan 114 kerusi sahaja. 

“Justeru, kerajaan memerlukan mandat yang lebih besar dan stabil untuk tidak bergantung kepada sokongan pembangkang dalam apa sahaja pembentangan RUU,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, keyakinan pelabur asing dan pemulihan ekonomi sendiri bergantung kepada kestabilan politik negara dan kekuatan kerajaan. 

Katanya, perkara itu dapat dilihat sepanjang beliau berada di Dubai apabila beliau mendapat respon kurang memberangsangkan daripada para pelabur asing melibatkan pelaburan di Malaysia ekoran ketidakstabilan politik negara. 

“Oleh itu, perjanjian dengan pembangkang perlu diperkukuhkan semula dengan terma-terma yang boleh memberikan tambahan keyakinan kepada kekuatan kerajaan. 

“Terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menilai suasana semasa dan menyusun kekuatan kerajaan sementara menunggu pembubaran Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN