SANDAKAN: Seorang pekerja ladang ditemukan lemas selepas kenderaan yang dipandu dihanyutkan arus deras di jambatan Sungai Memanjang berhadapan Ladang Hassan, Beluran petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kahar Asis, 26, dipercayai cuba menyeberangi jambatan yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus deras.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumahnya hendak ke tempat kerja di kilang minyak sawit Ladang Hassan dengan menaiki kenderaannya selepas rehat makan tengah hari.

Semasa tiba di lokasi kejadian, paras air sungai sudah melimpah dan mangsa cuba meredah jambatan tersebut sebelum dihanyutkan arus deras sehingga kenderaannya terjunam ke dalam sungai.
Mangsa ditemukan dalam kenderaannya pada jarak 30 meter dari lokasi kejadian oleh pihak bomba dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.
Azhar menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil risiko dengan meredah arus deras ketika banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi berkata, kenderaan mangsa terpaksa dikeluarkan dari sungai menggunakan peralatan tali menyelamat dengan bantuan jentera jengkaut.
Mangsa masih berada dalam kenderaan semasa kereta Proton Iswara yang dipandunya berjaya dikeluarkan dari sungai pada pukul 4.40 petang.UTUSAN










