Kenakan hukuman lebih berat terhadap individu persenda OKU

[PARLIMEN] Kenakan hukuman lebih berat terhadap individu persenda OKU

RAS ADIBA RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU) dengan meminda Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu perbuatan memalukan fizikal seseorang.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan perkara tersebut bagi memastikan perbuatan mempersenda dan mendiskriminasi golongan OKU tidak terus berleluasa terutama dalam media sosial.

“Saya ingin tegaskan bahawa tindakan berlakon seperti OKU untuk menjadi popular dan sebagai kandungan media sosial, adalah satu perbuatan keji dan jijik.

“Ini kerana OKU juga mempunyai hati, perasaan dan sensitiviti yang harus dihormati oleh semua segmen masyarakat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Beliau juga mahu Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempersenda golongan OKU serta berusaha memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Katanya lagi, tindakan individu yang berterusan mempersenda OKU sejak kebelakangan ini menunjukkan kerapuhan dan kelemahan Akta OKU 2008, yang sehingga kini tidak dibentangkan lagi di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara.

Dalam pada itu, Ras Adiba mencadangkan pelantikan seorang wakil OKU dalam Majlis Pekerjaan Negara, bagi memastikan isu pengangguran dan peluang pekerjaan kepada golongan itu dapat dikendalikan dengan baik.

Katanya, pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi ketika ini telah menyebabkan ramai individu hilang sumber pendapatan termasuk OKU yang bergelut untuk mendapat pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya