PONTIAN: Segelintir pengundi berusia muda mengakui mereka tidak tahu untuk membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang pertama kali dilalui golongan itu.
Justeru, Muhammad Firdaus Syyadi Abd. Rahman, 20, berkata, maklumat diberikan ahli keluarga amat membantu untuk mereka memilih wakil rakyat yang terbaik.
“Keluarga membantu membuat pemilihan calon mana hendak diundi memandangkan saya tidak tahu sangat mengenai calon-calon yang bertanding.
“Tetapi apa pun saya gembira kerana pagi ini pertama kali datang ke tempat mengundi berbanding sebelum ini hanya melihat dari luar sahaja,” katanya ketika ditemui SJK( C) Lok Yu 1 Benut di sini.
Sementara itu, walaupun baru seminggu mengalami kemalangan jalan raya bukan halangan bagi Muhammad Fahmey Shazwan, 23, menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari ini.
Katanya, seperti mana anak muda lain, dia yang hadir dengan bertongkat ke pusat mengundi itu juga ingin sama-sama terlibat dalam proses PRN Johor.
Dzul Ikram Abd. Jalal, 24, yang juga pengundi baharu secara automatik pula berkata, peluang yang diberikan tidak akan dilepaskan untuk sama-sama menjadi pengundi.
“Tentunya saya gembira pada pagi ini sambil ditemani kakak saya untuk memilih wakil rakyat bagi Dewan Undangan Benut (DUN) Benut,” katanya selepas mengundi di SMK Benut. – UTUSAN