MACHANG: Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan khidmat nasihat dan bantuan teknikal mana-mana kementerian untuk melaksanakan program ekopelancongan dan biodiversiti hutan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu perlu bagi memenuhi matlamat pihaknya yang berusaha mengekalkan kelestarian hutan dan dalam masa sama, meningkatkan hasil negeri.
“Kaedah itu juga bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak tempat-tempat riadah yang berunsurkan ekopelancongan.
“Bagaimanapun, kita akan terus mengekalkan hutan simpan di negeri ini dan menguruskannya secara lestari,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan di Taman Eko Rimba Bukit Bakar, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan semula jadi terutama hutan yang merupakan anugerah tuhan kepada rakyat Kelantan.
Sehingga kini kata beliau, keluasan hutan simpan kekal (HSK) di Kelantan adalah lebih 629,000 hektar, iaitu bersamaan 42 peratus daripada keluasan negeri, sekali gus menjadi antara negeri yang memiliki hutan terbesar di Malaysia. – UTUSAN










