KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan supaya bersikap lebih tegas dengan mengecam penaklukan Rusia ke atas Ukraine.
Dalam Perbahasan Titah Diraja, Anwar berkata, ketegasan tersebut juga tidak bermaksud Malaysia menjadi condong terhadap Amerika Syarikat (AS).
“Konflik Ukraine dan Rusia ini memang ada kontroversi sikit kerana seolah-olah kita ikut selera AS namun keganasan dan penaklukan di Iraq, Syria dan Libya, kita tidak pernah sokong dan perlu lantang menentang. ‘
“Tetapi hal yang sama, kita tidak boleh mengizinkan dengan apa alasan, penakhlukan Rusia ke atas Ukraine. Membantah penakhlukan Rusia tidak bermakna kita menyokong barat dan salah laku mereka di tempat yang lain.
“Biar Malaysia konsisten menolak apa juga tindakan kuasa besar membuli, menakhluki dan merampas hak negara kecil yang lain. Malaysia perlu lebih tegas dalam isu Rusia-Ukraine. Kalau kita dian, risikonya juga akan menimpa kita,” jelasnya.
Membahaskan usul itu, Anwar juga memuji tindakan kerajaan Malaysia yang menunjukkan sikap konsisten dalam mengecam tindakan Israel yang terus memberikan serangan kepada Palestin.
“Bagi soal Palestin, saya harap kerajaan konsisten menyuarakan kerana keganasan Israel berterusan, kawasan yang diroboh dan dirampas terus bertambah.
“Setakat ini Malaysia konsisten jadi saya harap Kementerian Luar Negeri terus menyuarakan dengan lebih lantang. Sementara itu, Anwar berharap agar semangat yang sama boleh ditunjukkan kepada Myanmar yang juga mengalami konflik dalaman. –UTUSAN ONLINE