KOTA KINABLAU : Pengumuman membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi kelegaan kepada pekerja sektor makanan di Sabah.
Christopher Rongitan, 23, berkata, memandangkan ekonomi negara masih belum stabil, kebenaran pengeluaran sebegini akan meringankan bebanan pekerja sektor makanan sepertinya.

Beliau berkata, semasa dua pengeluaran KWSP sebelum ini, beliau memang mengeluarkan sebahagian simpanan untuk menampung kehidupan keluarga kerana ketika itu beliau diberikan cuti.
”Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pekerja sektor makanan diberikan cuti kerana premis makanan hanya beroperasi untuk khidmat penghantaran sahaja.
“Bagi pengeluaran terbaharu ini, beliau akan mengeluarkan sedikit simpanan yang ada sekiranya syarat pengeluaran dilonggarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Dg Khustizah Raja, 32, berkata, pengeluaran KWSP kali ini amat dinanti-nantikan kerana ketika ini harga barangan masih belum stabil dan pembayaran gaji mereka juga belum penuh.

Justeru itu, kebenaran pengeluaran simpanan KWSP begini amat bermakna bagi pekerja yang belum mendapat bayaran gaji penuh seperti mereka.
Menurutnya, sebelum ini, dia turut mengeluarkan I-Lestar dan I-Sinar untuk digunakan bagi perbelanjaan harian dan simpanan kecemasan.
Tengah hari tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi pengumuman khas memaklumkan kerajaan membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas RM10,000.
Walau bagaimanapun, syarat pengeluaran itu akan diumumkan secara lebih terperinci oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.- UTUSAN










