PUTRAJAYA: Ada dalam kalangan ibu bapa yang beranggapan, kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun tidak perlu lagi diberi vaksinasi semasa fasa peralihan ke endemik.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, hakikatnya terdapat peningkatan 160 peratus bilangan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun ini.
Katanya, sehubungan itu, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk Covid-19 dan komplikasinya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan supaya kanak-kanak yang belum divaksinasi segera berbuat demikian kerana manfaatnya jauh lebih tinggi berbanding risiko mendapat kesan sampingan dan komplikasi.
“Ibu bapa yang membawa anak ke pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 pada hari mereka bekerja akan diberi surat pengesahan kehadiran (time-slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk vaksinasi.
“KKM berharap majikan-majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam membenarkan ibu bapa membawa anak untuk vaksinasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak berusia lima hingga bawah 12 tahun secara ‘walk -in’ ke PPV yang telah diuar-uarkan sebelum ini.
“Pilihlah untuk vaksin anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko mendapat kesan sampingan vaksin,” katanya. – UTUSAN










