PETALING JAYA : Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam selepas kakinya tersepit di dalam lubang mangkuk tandas di sebuah kediaman di Jalan Jejaka, Taman Maluri, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.14 malam itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan dari MERS 999 berhubung kejadian.
Berikutan itu, sepasukan 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dengan bantuan BBP Hang Tuah diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Rahmat Kamarulzaman kemudian bergegas ke lokasi.
Menurut Rahmat, sebaik tiba di kediaman itu, mendapati kaki seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tersepit dalam mangkuk tandas dipercayai akibat tergelincir.
“Kerja menyelamat dimulakan dengan kita memecahkan mangkuk dan paip tandas menggunakan peralatan ‘power unit’ dan ia perlu dibuat secara berhati-hati serta teliti supaya tidak mencederakan kaki kanak-kanak terbabit.
“Kerja-kerja tersebut mengambil masa lebih kurang dua jam sebelum kita berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, kanak-kanak yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulans dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk mendapatkan rawatan.-UTUSAN










