KOTA KINABALU: Kegagalan Parti Warisan (Warisan) memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendorong parti itu untuk menyusun semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mereka akan menyusun semula strategi dan mengorak langkah untuk bergerak maju ke hadapan sebagai persediaan menghadapi PRU15.
“Ini bukan masanya untuk kita berputus asa. Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada PRN Johor, Warisan bertanding enam kerusi iaitu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Johor Jaya, Bukit Batu, Mahkota dan Permas.
Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, keputusan PRN Johor tidak seperti apa yang diharapkan dan masa juga tidak menyebelahi Warisan untuk mendekati lebih ramai pengundi.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada PRN Johor.
“Apa yang paling penting, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk parti Warisan.
“Dengan penuh keikhlasan, saya amat menghargai segala kerja keras dan usaha berterusan anda semua. Saya juga berterima kasih kepada rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan kami (Warisan) ke negeri tersebut,” katanya.
Calon-calon yang mewakili Warisan pada PRN Johor semua kehilangan deposit dan mereka ialah Hishamuddin Busri (Pekan Nanas), Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Mohamed Noor Suleiman (Mahkota), Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lew Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas). UTUSAN










