Kadar zakat fitrah Pahang kekal RM7 - Utusan Malaysia

Kadar zakat fitrah Pahang kekal RM7

AHMAD HAIRI Hussain menunjukkan resit yang sah dengan logo rasmi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) diberikan kepada amil yang ditauliahkan dalam urusan pembayaran zakat fitrah. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penetapan kadar zakat fitrah negeri ini bagi tahun ini masih sama seperti tahun sebelumnya iaitu RM7 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, bagi melancarkan urusan tersebut, seramai 930 amil zakat fitrah telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan tersebut di negeri ini.

Menurutnya, semua umat Islam di Pahang boleh menunaikan bayaran zakat fitrah mereka bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Umat Islam di negeri ini disaran agar membayar zakat hanya kepada amil yang bertauliah. Pembayar zakat negeri Pahang perlu memastikan resit pembayaran diterima mempunyai logo majlis berkenaan yang sah. Ini kerana pada tahun lalu terdapat dua kes amil zakat fitrah tidak bertauliah dikesan pihak Muip.

“Dengan itu, sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau lantikan Muip adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah negeri Pahang tahun 2022 di Bilik Mesyuarat Utama Muip di sini hari ini.

Ahmad Hairi berkata, dalam memahami keutamaan memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dan fasa peralihan ke endemik Covid-19 mulai 1 April depan, kaedah bayaran melalui amil zakat fitrah adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan.

“Selain pembayaran dibuat melalui amil-amil bertauliah yang melaksanakan urusan kutipan zakat di masjid dan institusi agama, terdapat juga kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui capaian ezakat.muip.gov.my. Muip menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM7.5 juta untuk tahun ini, berbanding RM7 juta tahun lalu. Pada tahun lalu, Muip mengagihkan sebanyak RM172 juta wang kutipan zakat kepada semua pihak yang layak menerima,” katanya.

Sementara itu katanya, bermula April depan, sebanyak RM2.8 juta bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri akan diagihkan kepada penerima zakat bulanan yang melibatkan 5,556 ketua isi rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya