KUALA TERENGGANU: Jualan tiket bas di negeri ini bagi perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Ramadan dan Syawal masih lagi perlahan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini mendapati, kaunter sistem tiket berpusat (CTS) lengang dengan kurang 10 pembeli mendapatkan tiket dalam tempoh kira-kira tiga jam.
Penjaga tiket dikenali sebagai Aina Ali berkata, jualan tiket ke kebanyakan destinasi utama seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan kurang mendapat sambutan pada masa ini.
Katanya, situasi itu adalah biasa kerana orang ramai terutama golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) lazimnya mula membeli tiket selepas seminggu umat Islam berpuasa.
“Tiket masih lagi banyak di kaunter dan dalam talian kerana kebiasannya jualan rancak pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Amirul Haqeem Ahmad Shah, 21, berkata, tiket bas pulang ke Negeri Sembilan akan dibeli pada minggu kedua Ramadan nanti.
“Jumlah perantau di negeri ini tidak seramai di Lembah Klang dan tiket masih ada walaupun dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Berdasarkan pengalaman lalu, ramai rakan-rakan yang menanti sehingga malam raya untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung masing-masing, cuma, harganya lebih mahal kerana melibatkan bas tambahan,” katanya. – UTUSAN










