‘Johor mesti ditadbir MB terbaik’

‘Johor mesti ditadbir MB terbaik’

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, Johor perlu ditadbir Menteri Besar yang mempunyai pencapaian memberangsangkan.

Katanya, sehingga kini, selain daripada Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad selaku calon Menteri Besar yang mewakili Barisan Nasional (BN), kesemua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih gagal menyatakan dengan jelas siapakah calon mereka.

“Perikatan Nasional (PN) memilih sekadar mengangkat pemimpin nasional sebagai poster boy akibat ketiadaan calon yang layak di peringkat negeri.

“Pakatan Harapan (PH) seperti sudah berputus asa dan sedar bahawa mereka mencatatkan prestasi buruk kali ini. Jadi, tidak guna untuk bertelagah dan merebut jawatan Menteri Besar.

“Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan serpihan-serpihan politik lain pula sememangnya dari awal sudah jelas bahawa mereka hadir sekadar meramai dan memeriah temasya demokrasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Namun, beliau menganggap PKR berkemungkinan besar mengulangi kesilapan dalam PRN Melaka, iaitu melantik dan mengangkat katak politik sebagai calon Menteri Besar.

“Jika ini benar, bermakna masa depan Johor mahu disandarkan Dr. Maszlee Malik iaitu bekas Menteri Pendidikan yang gagal dan telah dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri semasa dalam Bersatu di bawah PH.

“Malah, beliau adalah orang terawal yang melanggar janji manis PH untuk membebaskan universiti dari pengaruh politik dengan melantik dirinya sendiri sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta mengangkat ramai kronik politik ke dalam institusi pendidikan.

“Katak politik yang melompat keluar dari Bersatu, menjadi wakil rakyat Bebas, kemudian muncul antara pendukung awal Pejuang dan kemudiannya menarik diri dari Pejuang pada 2 November 2020 dan kemudiannya menyertai pula PKR,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Johor memberi kepercayaan kepada Hasni sebagai calon Menteri Besar.

“Khususnya susulan kejayaan beliau membetulkan kembali kedudukan Johor selepas kelembapan dan kemerosotan semasa zaman dua menteri besar dari Bersatu.

“Malah, Hasni akan mampu menjadi Menteri Besar yang baik kerana disokong kuat oleh BN dan tidak berlaku perbalahan dalaman parti.

“Pendek kata, Johor mesti ditadbir oleh Menteri Besar terbaik. BN meletakkan yang terbaik demi kestabilan masa depan Johor,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN