JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan jentera Barisan Nasional (BN) untuk terus bekerja sehingga ke hari pengundian 12 Mac ini bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
Naib Presiden UMNO itu berkata, jentera mesti terus bekerja sehingga ditentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
“Jadi saya harap walaupun saya yakin, Menteri Besar (Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad) yakin, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn) yakin, tetapi tidak cukup, jentera mesti terus bekerja supaya kita dapat pencapaian yang lebih baik.
“Kita tak nak simple majority kita nak lebih, kalau boleh dua per tiga,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang BN selepas tiga hari mengadakan jelajah di negeri ini.
Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat, di sini.
Pembinaan RKMAT pelbagai kelas di Kem Segamat dirancang di atas tanah berkeluasan 20.125 ekar pada tahun 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM147.7 juta bagi menampung keperluan kediaman buat pegawai dan anggota lain-Lain pangkat.
Sebanyak 305 unit kediaman merangkumi 25 unit rumah Pegawai dan 280 unit bagi anggota lain-lain pangkat. – UTUSAN










