[VIDEO] Jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan malam tadi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan malam tadi

JENAZAH Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Seremban kira-kira pukul 9.45 malam semalam. -UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jenazah pelakon dan pelawak, Amran Tompel, 72, atau nama penuhnya Amran Aman Ramlie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang di sini kira-kira pukul 9.45 malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 4.43 petang semalam.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang di sini untuk urusan solat jenazah.

Bekas isteri Allahyarham, Anas Salmee Syed Mohammad, 53, berkata, Amran meninggal dunia di rumahnya di Taman Matahari Height, Senawang selepas beberapa tahun terlantar akibat diserang beberapa penyakit seperti angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi.

JENAZAH Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Seremban kira-kira pukul 9.45 malam semalam, selepas meninggal dunia di rumahnya di Taman Matahari Heights, Senawang pada petang hari yang sama. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

“Sejak beberapa hari lalu arwah tiada selera makan. Saya ada nampak dia lain dan tidak banyak bercakap. Ketika kejadian, saya sedang memasak manakala anak saya, Suhaili berada di ruang tamu.

“Suhaili kemudian memberitahu arwah sudah tiada dan saya kemudian pegang tangan arwah sudah sejuk,” katanya ketika ditemui malam semalam.

Turut kelihatan hadir pada majlis pengebumian tersebut ialah adik-beradik Allahyarham, pelakon terkenal AR Badul dan Adlin Aman Ramlie.

Sementara itu, anak kedua Allahyarham, Shafiq Amran, 28, berkata, bapanya baru-baru ini pernah menyatakan hasrat untuk mereka sekeluarga keluar makan bersama-sama.

“Walaupun dalam keadaannya yang terlantar itu, baru-baru ini secara tiba-tiba dia ada mengajak kami sekeluarga untuk keluar makan bersama-sama. Dua tiga hari ini keadaan arwah memang nampak lemah dan memang tidak selera makan,” katanya.

Amran sebelum ini dilaporkan pernah beberapa kali diserang angin ahmar termasuk mengalaminya ketika di peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Allahyarham merupakan anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel bersama pelakon, P. Suriati.

Amran yang lahir di Singapura aktif mewarnai industri lakonan tanah air sekitar dan pernah membintangi beberapa buah drama dan filem.

Allahyarham turut meninggalkan empat orang anak iaitu dua orang anak lelaki dan dua orang perempuan berusia 22 hingga 29 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya