Jarak satu sejadah di Melaka bermula 1 April

Jarak satu sejadah di Melaka bermula 1 April

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh Melaka mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) penjarakan satu sejadah bermula 1 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, meskipun kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan pemansuhan penjarakan fizikal solat berjemaah, kerajaan negeri berpendapat masih perlu sedikit penjarakan berdasarkan situasi semasa demi kebaikan rakyat.

Jelasnya, bagaimanapun ia masih perlu mengambil kira kapasiti menampung jemaah di sesebuah masjid dan surau bagi pelaksanaan kelonggaran baharu itu.

“Sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 terdahulu, kita hanya benarkan 13 jemaah dalam surau dan masjid untuk solat berjemaah.

“Kemudian penambahbaikan kita benarkan pada ketika itu kepada 40 jemaah, jadi kita mematuhi apa sahaja kelonggaran di peringkat Persekutuan.

“Kalau dalam Melaka, jika ia baik untuk kebaikan rakyat, kita akan mohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Di Melaka, jarak satu sejadah ke satu sejadah, masih ada sedikit penjarakan sosial. Bukan tidak boleh rapat tetapi mesti ada penjarakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan sebuah pasar raya di Bukit Senjuang, Ujong Pasir di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, bermula 1 April ini, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki fasa endemik bermula bulan depan.

Selain Melaka, Negeri Sembilan turut menetapkan penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri itu mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu dengan 0.61 meter lebar dan 1.22 meter panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN