PORT DICKSON: Tindakan undang-undang menanti kepada mana-mana pihak yang menceroboh kawasan larangan perikanan di Tanjung Tuan, di sini termasuk yang cuba mencuri karang di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, tindakan tersebut boleh diambil berikutan kawasan perairan Tanjung Tuan telah diwartakan sebagai kawasan larangan penangkapan ikan termasuk pengambilan karang atau rumpai laut.
“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba menceroboh atau merosakkan kawasan perairan marin seperti latok dan karang di Tanjung Tuan. Sekiranya masih berdegil, mereka akan didakwa mengikut undang-undang yang ada.
“Saya juga berharap orang ramai menjaga kawasan marin ini supaya tidak tercemar yang sekali gus boleh memusnahkan alam semula jadi. Semua pihak perlu bekerjasama termasuk pelancong agar kawasan ini boleh diwarisi oleh anak cucu,” katanya pada Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di Pantai Tanjung Biru dekat sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, sejak tahun 2019 sehingga kini, sebanyak tiga kes pencerobohan kawasan tersebut diterima pihaknya
“Pihak kami telah meletakkan tiga papan tanda di Tanjung Tuan ini bagi memaklumkan larangan tersebut kepada orang ramai. Kebanyakan mereka yang cuba memasuki kawasan ini untuk mengambil karang untuk dijual dan latok yang diambil pula adalah untuk dimakan sendiri atau dijual.
“Mereka ini kebanyakannya adalah orang luar dan tidak mengetahui kawasan ini adalah kawasan larangan,” katanya.
Sementara itu, pada program tersebut seramai 21 orang penyelam sukarelawan terlibat membersihkan dasar laut di Tanjung Tuan.
Pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan kemudian melepaskan lima ekor ikan yu bodo dan enam ekor penyu jenis agar dan karah di perairan Tanjung Biru.- UTUSAN