JOHOR BAHRU: DAP menyeru 2.6 juta pengundi Johor agar tidak membiarkan gelombang ‘Bossku’ menenggelamkan keperluan pemilihan kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kempen ‘Malu Apa Bossku’ pada PRN Johor itu dilihat lebih kepada kepentingan peribadinya.
“Walaupun disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta bukti yang tidak dapat dinafikan di seluruh dunia bahawa ratusan juta ringgit telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya, Najib terus hidup dalam dunia sendiri bersama Barisan Nasional (BN) seolah-olah beliau tidak bersalah dan bebas daripada skandal skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kempen peribadi Najib terselit dengan kepentingan diri untuk menumpang jangkaan kemenangan BN sebagai modal politik untuk menyelamatkan dirinya daripada penglibatannya dalam skandal RM52 bilion 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
8 Mac lepas, media melaporkan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu mengharapkan semangat gelombang ‘Bossku’ yang dipamerkan pada siri jelajahnya sepanjang tempoh berkempen dapat diterjemahkan pada hari pengundian esok.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kepentingan dan mata pencarian 2.6 juta pengundi adalah lebih penting daripada nasib seseorang yang disabitkan bersalah dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
“Atas sebab ini, 2.6 juta pengundi Johor perlu keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 12 Mac bagi memastikan kebimbangan mereka terhadap mata pencarian dan kos sara hidup mesti ditangani,” katanya. – UTUSAN