IPOH: Isteri seorang daripada pekerja kuari yang tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini sejak Selasa lalu, yakin suaminya masih hidup.
Wak Uda Bah Kim, 41, berkata, walaupun tiada perkembangan positif meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat hari ini, namun gerak hatinya kuat mengatakan Itam Lasoh, 43, masih selamat.
“Gerak hati saya kuat, saya yakin yang dia masih hidup dan selamat. Cuma saya bimbangkan keadaannya, jika selamat pun dia mesti amat letih, lapar dan haus. Harapan saya setiap hari tidak pernah hilang. Malah, setiap hari saya datang dan tunggu suami di sini, saya akan tunggu dia selagi mampu. Saya mahu jadi orang pertama melihat suami keluar (diselamatkan),” katanya ketika ditemui di lokasi runtuhan di sini hari ini.
Sementara itu, ibu kepada empat anak itu turut melahirkan rasa kesal kerana tidak dibenarkan melihat operasi mencari dan menyelamat suaminya dan rakan sekerja pada jarak dekat.
Katanya, dia yang membawa kesemua anak berusia 15 hingga dua tahun juga kecewa apabila tidak dimaklumkan perkembangan terkini operasi berkenaan.
“Sejak semalam lagi saya bawa anak-anak ke sini tetapi tidak dibenarkan masuk, cuma lihat dari jauh saja. Hari ini, makin jauh pula pita larangan yang dipasang pasukan keselamatan. Kalau sudah duduk sejauh ini, susahlah untuk lihat apa yang berlaku. Lagipun tiada siapa yang maklumkan apa-apa berkaitan operasi pada saya,” katanya.
Dalam pada itu, anak sulung pasangan tersebut, Wah Siska, 15, berkata, dia amat berharap bapanya dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
“Bila emak beritahu kejadian menimpa bapa, saya memang risau dan berdoa agar dia selamat. Saya harap bapa dapat ditemukan segera,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN